Hadiah Kahwin

Hujung minggu ini sepupu saya akan berkahwin.

Saya, Angah dan Abang dikehendaki memikirkan hadiah yang sesuai diberikan kepada bakal pengantin tersebut. Kira macam hadiah keluargalah.

[...]

Selak katalog. Banyak set pinggan mangkuk dan cawan di dalamnya. Harga boleh tahan murah.

"Kalau buat hadiah, bagus ni," fikir saya.

Lalu katalog itu ditunjukkan kepada Ummi. Namun Ummi menolak idea saya.

"Sudah biasa sangat orang beri set cawan kepada orang baru kahwin," katanya. "Lagipun, orang baru kahwin, pakai mug pun boleh."

Saya bungkam.

[...]

Saya dengan Angah berfikir di dalam bilik. Ummi juga berada di situ, menumpang kipas bilik yang laju.

"Kalau beri seterika, boleh juga, bukan?" cadang Angah.

"Jangan," kata Ummi. "Ingat masa Pak Su kahwin dulu?"

Dulu, masa Pak Su baru berkahwin, Ummi dan Ayah bercadang memberikan seterika kepadanya. Dan memang seterikalah yang dihadiahkan kepadanya. Namun secara kebetulan ada orang lain yang menghadiahkan barang yang sama.

Sudahnya ada 4 seterika. Satu diberikan kepada Nenek. Yang lain, tidak tahu. Pak Su simpan sahaja agaknya.

"Jadi, alat pengisar?" usul saya pula.

"Ha, pengisar jus buah. Bukannya pengisar biasa itu. Itu sudah biasa sangat," kata Ummi.

Saya dan Angah terdiam.

"Bukankah harganya mahal?" tanya Angah. "Yang ada di rumah pun hampir RM100 harganya, bukan?"

"Ada yang murah. Di kedai elektrik yang Ayah selalu pergi tu. Di sana ada pengisar jus murah, dalam RM75," balas Ummi.

Kemudian Ummi keluar ke dapur. Angah masih berfikir. RM75, agak banyak wang mahu dikeluarkan.

"Nanti Angah pergilah tengokkan di kedai itu. Ada lagi idea tak?"

"Janga idea 'beli 3 kotak sabun cuci baju,kemudian lekatkan bersama, selepas itu bungkus dengan pembalut hadiah' kamu tu, sudahlah."

"Oh, ada idea yang lebih baik. Malah, lebih murah," Angah tiba-tiba berteriak ceria.

"Apa dia?"

"Kita hadiahkan mereka penyapu lidi, mop, baldi dan pencuci lantai Ajax Fabuloso!" katanya sambil ketawa besar.

"Melampau sungguh!" Balas saya sambil ketawa.

[...]

"Ha, kenapa panggil Abang?" Abang masuk dengan wajah sepuluh sen selepas dipanggil berkali-kali ke bilik.

Abang adalah orang paling kedekut di antara kami lima beradik. Beli air di pasar malam pun mahu minta orang belanja.

"Ini ha, fasal majlis kahwin Kak Ira nanti, kita kena belikan hadiah," kata saya.

"Oh..." Abang megangguk. Dia sedia maklum. "Apa kita mahu berikan kepada mereka?"

"Pengisar jus buah. Paling murah RM75," kata Angah.

Mata Abang terbuntang, mulut ternganga, lalu berlalu dari bilik tanpa berkata apa-apa.

"Hei, kita kongsi duit sama-samalah. Bukan kamu seorang sahaja kena keluar duit!" teriak Angah.

[...]

Hujung minggu ini sepupu saya akan berkahwin.

Dan kami masih belum beli lagi hadiah yang sesuai untuk mereka.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Trip dan blackout 2

Anis ke PIS

Alkisah Budak-Budak Sekolah Zaman 80/90an