Kicap dan Sarsi

Ayah selalu membeli kicap berjenama Jalen - sebab setakat ini jenama itu sahajalah yang dijual dalam botol saiz 5kg. Tidak lama kemudian, dia juga mula membeli kordial sirap ros dan sarsi. jenama yang sama, berat yang sama. Jadi, boleh jangkalah bagaimana pembungkusannya.

[...]

Malam kelmarin.

Tiba-tiba terasa mahu makan mi segera. Ada mi segera goreng yang baru dibeli. Anis dan Angah kata, mi segera itu pedas (kata sahaja perisa asli). Mereka telah mencubanya sebagai menu untuk bersahur untuk puasa ganti beberapa hari lepas.

Maka saya pun bercadang menambahkan sedikit kicap manis dalam mi segera itu setelah siap dimasak. Tangan terus mencapai botol kicap di sebelah dapur tanpa melihat labelnya, sambil berbual-bual dengan Angah yang tidak habis-habis merepek.

Selesai menambah sedikit kicap, barulah saya melihat label botol tersebut.

'Kordial Sarsi'.

Ah sudah. Mahu buang, membazir pula. Sudah diadun secukup rasa pula itu. Angah pula, bukan main lagi ketawakan saya dari bilik.

Jadi malam itu saya menikmati mi segera goreng pedas dengan tambahan rasa sarsi sebagai penyedap rasa. Taraa!!!

(Hei, rasanya boleh tahan juga, tahu?)

[...]

Petang semalam.

Ummi tiba-tiba terasa haus dan mahu minum air manis. Jadi ke dapurlah dia, membancuh air dalam cawan panjang (yang biasa orang buat botol air itu). Saya pula berada di dalam bilik, menyapu sampah.

Tiba-tiba Ummi ketawa kuat. Terkejut saya dibuatnya. Terus saya ke dapur.

"Kenapa, Ummi? Tiba-tiba saja ketawa," tanya saya, keliru.

Ummi sekadar menunjukkan air dalam cawan panjang yang dibancuhnya sambil ketawa. Hitam legam airnya. Ternampak botol kicap berhampiran Ummi.

Terus saya ketawa, sebab akhirnya saya faham kenapa Ummi ketawa besar tadi.

Sudahnya, air itu dibuang ke dalam sinki. Ummi masih lagi ketawa, walaupun tidak sekuat tadi.

(Yalah, ada sesiapa yang mahu minum air kicap?)

[...]


Kicap dengan sarsi, botolnya lebih kurang sahaja. Sudahlah isinya sama-sama hitam. :\

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Trip dan blackout 2

Anis ke PIS

Alkisah Budak-Budak Sekolah Zaman 80/90an