Fobia

Semua orang ada fobia masing-masing. Ada yang fobia dengan ketinggian, ada yang fobia dengan darah, dan apa-apa yang sewaktu dengannya. Saya pun ada fobia.

Eih, ni apasal cakap pasal fobia ni? Em, saje je nak cerita. Tak salah kan...

Saya ada fobia dengan tiga benda: telefon, jarum intravenous dan kawasan tanah perkuburan bila masuk antara waktu isyak hingga subuh keesokan harinya.

Fobia dengan telefon? Memang satu fobia yang aneh. Ye la mana ada orang yang fobia benda alah yang dikira agak penting zaman sekarang ni. Tapi, jujur saya katakan, kalau saya disuruh menelefon orang yang bukan ahli keluarga saya, saya rasa seram sejuk. Tapak tangan asyik berpeluh je. Kalau kat rumah, setiap kali telefon di ruang tamu rumah berdering, saya akan menyorok di dalam bilik, tak nak angkat punya pasal. Em... Kalau hp kes lain la. Tapi dulu, sebelum masuk IPT (Unitekma), kalau ada orang telefon, saya liat sangat nak angkat. Kalau nombor yang saya tak tau dari mana asal-usulnya lagilah saya tak angkat. Biar je sampai hp tu diam. Kadang-kadang tu bila saya tak guna hp tu, saya taruk merata. Lepas tu buat bodoh sampailah keesokan pagi. Top-up pun jarang, sebulan sekali RM5 sekali tambah nilai.

Memang la, saya cuma dibenarkan memegang hp masa tingkatan 5, dengan alasan kalau diberi lebih awal, takut mengabaikan pelajaran. Hmm... Kalau ada orang nak labelkan ayah saya ortodoks, saya tak kisah. Ada baiknya ada ayah yang ortodoks ni. Sebab ayah saya tak berapa manjakan anak sangat. Semua kalau nak usaha sendiri. Dia takkan tolong.

Fobia dengan telefon tu dah ada sejak saya kecil lagi. Kalau fobia dengan jarum intravenous tu pulak dapat masa tingkatan lima. Macam mana dapat fobia tu kalau difikirkan balik memang kelakar la. Tapi apa-apapun memang ngeri bila nampak jarum tu. Cara nak elak mudah je, berusahalah agar tidak jatuh sakit sepanjang hidup ni (boleh ke?)

Semuanya bermula dengan leher yang bengkak (macam kena beguk la katakan) apabila bangun pagi. Ingatkan salah posisi tidur, jadi dibiarkan sahaja. Lagipun stok nila serbuk dan cuka (yang keluarga saya selalu guna setiap kali leher saya bengkak) dah habis.

Alih-alih esoknya terus demam. Ayah saya terus hantar saya ke klinik berdekatan. Doktor yang periksa saya tu (macam doktor takde tauliah je rupanya, doktor pelatih kot) dengan penuh confident mengatakan saya mengalami jangkitan virus pada saluran nasal. Diberinya ubat antibiotik yang besarnya seruas jari kelingking. Saya makan ikut aturan yang disuruh doktor bertuah tu (walaupun dalam hati rasa tak sedap je sebab ubat yang dibagi gedang-gedang belaka).

Sudahnya setiap kali saya makan ubat, saya terpaksa menonggeng atas katil sebab sakit perut yang teramat sangat. Umi pun naik risau lalu memujuk Ayah menghantar saya ke Pusat Kesihatan. Tempat ni lagi kecik dari hospital, tapi kualiti mengalahkan klinik dan juga setaraf hospital (bolehlah nak kata begitu). Siap ada wad lagi.

Akhirnya Ayah pun menurut (em, sayang gak dia dengan anaknya yang sorang ni...) dan doktor yang periksa saya kali ini amat terkejut lepas memeriksa suhu badan (40 darjah celcius tu! Dah tahap demam panas!) dan siap bertanya lagi jika saya ada mengalami halusinasi. Dia juga perasan saya mengalami gastrik disebabkan ubat-ubat yang besar-besar tu.

Dan atas sebab-sebab tersebut, saya disumbat ke wad, siap ada aircond atas kepala katil. Lepas tu, seorang nurse India pun datang membawa larutan glukos dan juga jarum. Beberapa orang nurse lagi datang, dan meminta saya menghulurkan lengan kiri. Saya pun buat la apa yang nurse tu suruh.

Tiba-tiba terasa satu renjatan yang diikuti rasa sakit dan ngilu yang teramat sangat. Satu sensasi yang menyebabkan saya menjerit. Jeritan yang didengari seluruh warga Pusat Kesihatan itu. Nurse India tu buat bodoh je (memang la, dia yang cuba cucuk saya dengan jarum intravenous tu) dan nurse-nurse yang lain (lupa nak cakap, mereka ni orang Melayu) pula cuba tenangkan saya.

Sekali. Dua kali. Tiga kali. Tapi tak masuk-masuk jugak. Dicuba lagi. Tapi masih tak boleh. Keadaan saya? Jangan ceritalah, melalak macam bayi.

Sudahnya nurse India tu naik fed up dan blah. Beberapa minit kemudian diletakkan sejag air dan satu cawan. Disuruhnya saya habiskan air itu dalam tempoh sejam.

Bila tengok lengan saya dah tak rupa lengan dah. Banyak 'lubang-lubang' memenuhi lengan kiri yang jadi mangsa jarum intravenous tu. Itulah yang menyebabkan rasa ngeri terhadap benda alah tu.

Fobia kubur? Rasanya takde yang peliknya pasal ni. Takde sebab pun boleh takut. Tapi saya ada puncanya. Ni kerja Abang Izam (abang saudara) la ni.

Masa tu baru je sahur, umur saya masa tu baru 10 tahun. Arwah Atuk mengajak kami ke kubur Wan. Saya mengantuk masa tu, jadi tak nak ikut. Tetiba je Abang Izam provok, dipilih antara ikut atau dipanggil 'muka thosai'. Last-last ikut la.

Dalam keadaan mamai saya pun ikut Arwah Atuk bersama sepupu-sepupu yang lain. Tiba-tiba saya tersandung. Dahlah saya orang paling belakang, bersama Abang Izam dan Kak Nadia. Bila ditengok benda yang saya terlanggar tu, mata membulat.

Kat hujung kaki kelihatan sesuatu yang putih, kecil dan agak 'comel' (batu nisan yang mendap dalam tanah la, dah lama agaknya batu nisan tu).

Jadi cuba fikirkan, budak perempuan yang tengah mamai+suasana subuh+nampak batu nisan+takut, jawapannya apa?

Sudahnya Abang Izam yang provok saya tu pulak yang terpaksa dukung saya sepanjang berada di situ (sebab semangat saya terus hilang, sampai tak nak jejak kaki atas tanah dah... Heheh...)

Tapi semakin lama fobia tu semakin berkurangan, pada awalnya langsung tak boleh masuk kawasan kubur, sekarang cuma berteman kalau terpaksa berada di luar kawasan yang boleh nampak kubur pada waktu malam.

Jadi janganlah malu mengaku kalau ada fobia dengan apa-apa sekalipun. Sekurang-kurangnya ia buat kita sedar yang kita pun ada kelemahan tersendiri.

Siapa yang di sini fobia telefon gak?

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Trip dan blackout 2

Anis ke PIS

Alkisah Budak-Budak Sekolah Zaman 80/90an